 |
|
 |
| Kanak-kanak di sekolah « Hidup dengan Epilepsi |
|
| |
Semua guru-guru perlu tahu sedikit sebanyak tentang epilepsi kerana ia adalah satu penyakit kerap berlaku melibatkan 5 orang dalam setiap 1000 orang dan kebanyakan kes bermula sewaktu kanak-kanak atau remaja.
Akan berlaku diskriminasi terhadap pesakit epilepsi dari golongan mereka yang kurang berpengetahuan dalam isu-isu berkaitan dengan penyakit ini. Ini termasuklah guru-guru, pentadbir dan juga kanak-kanak lain. Kadang-kadang guru tidak membenarkan kanak-kanak yang mengidap penyakit ini dari menyertai sebarang aktiviti, kerana kurang mengetahui apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak ini. Kanak-kanak lain mungkin mengejek dan menyakat sesiapa sahaja yang berlainan sedikit dari mereka. Ibubapa perlu memberitahu pihak sekolah sekiranya kanak-kanak mempunyai epilepsi.
Kebiasaannya, kanak-kanak yang mengidap epilepsi boleh dan digalakkan mengambil bahagian dalam semua lawatan biasa, aktiviti kem dan jasmani yang diatur oleh pihak sekolah. Adalah penting bagi guru memberi galakan kepada kanak-kanak tersebut menyertai sebanyak aktiviti yang mungkin, kerana seorang kanak-kanak patut melalui berbagai jenis pengalaman hidup pembesarannya.
Terdapat 2 aspek (aktiviti) penting yang perlu diambil perhatian kepada kanak-kanak yang kerap mendapat sawan. Ini adalah memanjat dan berenang. Aktiviti memanjat mungkin memerlukan preskripsi, berenang pula patut digalakkan tetapi memerlukan satu pengawas bagi kanak-kanak sepanjang waktu dia di dalam kolam air.
Pengurusan yang praktikal bagi sekolah yang mempunyai kanak-kanak yang megidap penyakit epilepsi
Kanak-kanak yang megidap penyakit epilepsi perlu diberi perhatian yang sama seperti kanak-kanak lain dalam hal-hal disiplin, galakan, dan apa yang diharapkan dari setiap performa individu di sekolah. Jangan memanjakan anak anda atau membenarkannya membuat tipu helah disebabkan oleh keadaaannya. Aktiviti normal, bagi mental dan jasmani, akan menguntungkan kanak-kanak yang megidap penyakit epilepsi, dan membaiki penerimaan oleh rakan-rakannya.
Bertemubual dengan ibubapa
Sekiranya seorang kanak-kanak mengalami epilepsi, adalah mustahak bagi guru mendapatkan maklumat daripada ibubapanya mengenai sawannya, ubatnya, dan mana-mana aktiviti yang memerlukan apa-apa sekatan. Walau bagaimanapun, ibubapa dinasihatkan supaya tidak mengenakan banyak sekatan selain dari yang diperlukan bagi menjaga keselamatannya.
Rancangan awal dengan kanak-kanak
Jika seorang kanak-kanak pernah diserang sawan di sekolah, rancang lebih awal bersamanya dan rakan-rakannya tentang langkah-langkah yang patut diambil sekiranya dia diserang sawan di dalam bilik darjah atau di padang permainan. Anda mungkin dapat membantunya mengenal pasti samada dia mempunyai ‘Aura’ atau tanda amaran sebelum mendapat serangan, dengan berbincang dengannya tentang perasaannya sebaik sahaja sebelum sawan bermula. Walau bagaimanapun, harus diambil perhatian yang ramai orang yang biasa diserang sawan tidak mendapat langsung sebarang amaran.
Mengenal pasti faktor yang mungkin merangsangkan sawan
Mungkin anda dapat membuat perhatian yang sawan boleh terjadi bila ada rangsangan yang tertentu, seperti menonton T.V. atau aktiviti ayunan yang dilakukan berulang kali. Ia mungkin terjadi bila kanak-kanak nampaknya pasif atau berdiam diri, kepenatan atau kurang sihat. Jika rangsangan yang tertentu itu selalunya meyebabkan sawan, elakkan anak dari melakukan perbuatan tersebut tanpa dia menyedarinya. Berbincanglah perkara ini dengan ibubapanya, mungkin mereka boleh memberi nasihat yang praktikal.
Bantuan dari rakan sedarjah
Jika pelajar sering diserang sawan absens/petit mal sewaktu di sekolah, dia tidak akan dapat mengikuti mata pelajaran yang dipelajari dalam kelasnya. Jika ia mempunyai seorang rakan yang dapat membantu mengembalikan ingatan pelajarannya, dia tidak akan jauh ketinggalan disebabkan oleh ingatan kosong yang kerap berulang, dan ini akan mengurangkan masalah untuk mengejar pelajarannya di dalam bilik darjah.
Epilepsi – Pelajaran dan kelakuan
Ada pelajar yang mengidap epilepsi menghadapai kesulitan dengan kerja sekolah. Mereka nampak pening, kurang faham dan kurang perhatian, atau mempunyai masalah ingatan. Mereka juga mungkin akan menghadapi masalah pelajaran tertentu yang ada kaitan dengan bacaan atau ilmu kira-kira. Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini juga biasa bagi kanak-kanak lain, dan tidak boleh terus dianggap masalah kerana epilepsi.
Ada juga pelajar yang mengidap epilepsi yang menunjukkan kelakuan yang agak ganjil akibat epilepsi mereka, atau disebabkan oleh perubahan dalam ubat-ubatan mereka. Gangguan perlakuan boleh terjadi akibat terlalu dilindungi dan dimanjai di rumah atau kurang disiplin dan tidak diterima baik oleh sekolah.
Peranan guru
Guru memainkan peranan yang unik untuk memerhati dan memberi maklumat tentang sawan pelajar . Butir-butir punca sawan yang diceritakan pada ibubapa dan doktor dapat membantu menentukan jenis sawan. Dalam epilepsi petit mal keadaan tidak sedar diri yang sementara selalunya bersahaja, dan tanda-tanda pesakit sedang diserang hanyalah mungkin seperti kurang perhatian atau pandangan kosong. Apabila menceritakan kejadian kepada ibubapa, eloklah pemerhatian sebelum, sewaktu dan selepas sawan diberitahu dengan teliti dan elakkan dari menggolongkan pelajar sebagai epilepsi, terutama sekali apabila kanak-kanak belum disahkan mempunyai epilepsi. Apa-apa sangkaan sawan, atau tanda perubahan pada sawan di sekolah mesti dilapurkan kepada ibubapa. Pening yang berlarutan atau perhatian pelajar yang lemah patut diambil tahu, kerana ini mungkin satu petanda yang rawatan yang diterima tidak menyesuainya.
Penerangan sawan kepada kanak-kanak lain
Jika kanak-kanak lain melihat kejadian sawan berlaku di sekolah, ambil peluang ini untuk menerangkan secara mudah apa yang telah terjadi dan bagaimana mereka boleh membantu. Tegaskan kepada mereka yang sawan tidak membahayakan dan tidak boleh ‘dijangkiti’.
Perbincangan dan latihan bantuan kecemasan yang mudah bagi epilepsi dan pelajar yang diserang sawan akan memberi kesan positif terhadap seluruh kelas.
Mulanya, sawan yang ketara mungkin menakutkan, tapi setelah dikenalpasti dan tahu cara bantuan kecemasan, ia tidak akan ditakuti. Sikap penyayang dan dapat menerima keadaan menggalakkan satu tindakbalas yang positif dari kanak-kanak juga orang dewasa. Semua guru-guru patut dapat mengenal pasti bila sawan berlaku dan tahu apa yang harus dilakukan bila berhadapan dengannya di padang permainan atau di bilik darjah.
|
|
|
 |